OKU penglihatan pun berfacebook
SUATU ketika dahulu buku-buku dalam bentuk Braille menjadi ‘jendela’ kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendekati dunia luar.
Medium Braille boleh diibaratkan sebagai teman setia kepada golongan itu untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan maklumat dalam mengharungi kehidupan seharian mereka.
Bahkan, golongan itu tidak pernah mengenal erti jemu memikul buku-buku Braille yang tebal semata-mata untuk menambah ilmu di dada sama seperti orang normal lain.
Bagaimanapun, keterbatasan mencari bahan bacaan dalam bentuk Braille kadangkala menyukarkan OKU penglihatan menggunakan imaginasi mereka mengenali dunia luar dengan lebih mudah dan berkesan.
Kini golongan OKU penglihatan mempunyai alternatif dengan hanya menggunakan hujung jari mereka untuk memperoleh segala maklumat iaitu dengan melayari laman web.
Mungkin kedengaran agak pelik tetapi kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini membolehkan golongan OKU penglihatan menikmati kemudahan tersebut seperti orang lain.
Ini dibuktikan apabila lebih 700 OKU penglihatan dilatih Jabatan ICT Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur dalam memahirkan diri menggunakan kemudahan capaian tanpa sempadan itu.
Pengurus Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi MAB, Silatul Rahim Dahman berkata, program melatih golongan OKU penglihatan di MAB telah bermula sejak tahun 2005 lagi.
“Perkembangan teknologi banyak membantu golongan OKU penglihatan hidup berdikari dengan lebih mudah dan sempurna.
“Dengan menggunakan teknologi yang serba canggih ini, ia membuka peluang pekerjaan dan pendidikan kepada golongan OKU penglihatan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Silatul Rahim menambah, program melatih golongan OKU penglihatan mengambil masa selama lima hari sahaja untuk memperkenalkan asas pengkomputeran kepada mereka.
“Selepas lima hari menjalani latihan asas, mereka boleh melakukannya di rumah.
“Kebiasaannya, saya akan memberi tempoh sehingga tiga bulan untuk mereka memahirkan diri dalam penggunaan perisian dan komputer,” katanya yang mendapat pendidikan pengkomputeran di Amerika Syarikat.
Sambil rancak berbicara, kelihatan salah seorang pengunjung tetap makmal komputer MAB begitu asyik melayari laman web.
Bahkan, hebatnya lelaki itu dia begitu mahir mengendalikan papan kekunci komputer dengan menggunakan hampir semua 10 jarinya, sesuatu yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh orang celik penglihatan sendiri.
Apatah lagi papan kekunci yang digunakannya juga tidak mempunyai sebarang abjad Braille.
Hakikatnya, lelaki itu sebenarnya perlu menghafal setiap butang di papan kekunci untuk melancarkan penggunaan komputer.
Perisian pembaca layar
Kongsi Silatul Rahim, bagi memastikan OKU penglihatan dapat melayari Internet penggunaan perisian pembaca layar (screen reader software) telah dipasang di dalam komputer.
Katanya, perisian itu membolehkan OKU penglihatan mendengar output yang keluar di komputer dalam bentuk audio.
“Terdapat beberapa perisian yang digunakan termasuk Job Access With Speech (JAWS), Window-Eyes dan NonVisual Desktop Access (NVDA).
“Banyak perisian boleh digunakan oleh OKU penglihatan kecuali berbentuk imej,” katanya.
Bagaimanapun, dia menambah, laman web yang dibangunkan perlu menepati Web Accessibility agar golongan OKU dapat menggunakannya.
Katanya, Web Accessibility itu akan memainkan peranan penting agar semua isi kandungan di laman yang dilayari dapat dibaca.
“Sebagai contoh jika laman web berkenaan mempunyai gambar, ia perlu melabelkannya dalam bentuk teks agar perisian pembaca layar dapat membacanya.
“Di kebanyakan negara maju, ciri-ciri ini diwajibkan oleh pembuat polisi mereka agar OKU dapat melayari Internet khususnya laman web kerajaan,” katanya.
Pada tahun 2008 MAB juga telah melancarkan kempen Web Accessibility untuk memupuk kesedaran kepada pembangun laman web di negara ini tentang kepentingannya.
Peralatan mahal
Silatul Rahim menyeru kepada semua pembangun laman web, pembikin polisi dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar mengambil kira kepentingan golongan istimewa.
“Saya juga berharap skim subsidi dapat diberikan kepada golongan istimewa khususnya kepada mereka yang ingin membeli peralatan khas.
“Ia perlu dipertimbangkan kerana peralatan khas golongan OKU bukan dijual pada harga yang murah,” katanya.
Sambil berjalan Silatul Rahim menunjukkan pembantu peribadi digital (PDA) jenama Pacmate keluaran Freedom Scientific yang menelan belanja sehingga RM16,000.
Pada kebiasaannya, peralatan khas itu digunakan oleh golongan profesional OKU penglihatan seperti peguam, wartawan dan sebagainya.
Sementara itu, Mohd. Romadi Ibrahim, 40, berkata, dia mula berjinak-jinak dengan komputer sejak tahun 1992 lagi.
“Ia tidak begitu sukar dikendalikan kerana dia sudah biasa menggunakan mesin taip Braille.
“Perbezaannya adalah mesin taip tidak mempunyai audio yang dapat membantu memudahkan tugasan,” katanya.
Bagi Jamaluddin Rashid, 44, yang telah menggunakan teknologi pengkomputeran sejak tahun 2003, dia menghadapi kesukaran memahirkan diri pada peringkat awal mengendalikan komputer.
“Agak pening juga hendak mendengar audio tetapi minat mendalam terhadap teknologi tidak mematahkan semangat saya mempelajari komputer.
“Ia juga banyak membantu dalam memudahkan mendapat maklumat khususnya apabila dapat membaca akhbar dan bahan-bahan rujukan,” katanya.
Ujarnya, dia juga menggunakan laman sosial Facebook untuk berkomunikasi bersama rakan-rakan.
Katanya, kemajuan ICT banyak membantu OKU penglihatan berdikari tanpa bantuan pembantu apabila menulis surat dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment