Thursday, October 21, 2010

Kebas duit OKU  
Sinar Harian 21 Okt 2010


KUANG – Kerja jahat tidak mengenal mangsa. Golongan orang kurang upaya (OKU) yang sepatutnya dibantu juga tidak terlepas menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka.

Itulah juga yang berlaku kepada pasangan suami isteri OKU, Adam Suradi, 44 dan Mazarina Amir, 34 yang kehilangan RM1,800, sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membeli kerusi roda bagi memudahkan pergerakan mereka.

Pasangan yang menghidap tulang belakang bengkok yang mengehadkan pergerakan mereka sepatutnya berupaya menjalani kehidupan lebih selesa sejak setahun lalu, kini terus terhimpit dengan kepayahan meneruskan rutin harian.

"Semuanya gara-gara seorang individu yang mendakwa wakil syarikat pembekal kerusi roda berkunjung ke rumah kami Ogos 2009 lalu menuntut cek RM1,800 itu tetapi lesap hingga ke hari ini selepas berjanji akan menghantar kerusi roda tersebut beberapa hari selepas cek dituntut," kata Adam ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Adam berkata, cek RM1,800 itu diperolehnya awal Ogos 2009 selepas permohonan mendapatkan kerusi roda yang dibuat melalui ibu pekabat LZS di Shah Alam diluluskan.

"Pada awal Ogos 2009 dia dimaklumkan permohonan kerusi roda itu telah lulus dan dia dimaklumkan perlu mengambil cek tersebut di cawangan Lembaga Zakat Bukit Rahman Putra.

"Saya ketika itu hanya mengikut arahan jadi saya pergi ke pejabat Lembaga Zakat di Bukit Rahman Putra untuk mengambil cek tersebut yang bernilai RM1,800 yang dipalangkan atas nama sebuah syarikat pembekal kerusi roda,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pada 20 Ogos 2009 dia telah didatangi seorang wakil daripada syarikat pembekal kerusi di rumahnya yang mahu mengambil cek tersebut.

”Saya terus menyerahkan cek itu dan wakil syarikat terbabit berjanji akan menghantar kerusi roda ke rumah saya, namun setelah hampir dua bulan menunggu kerusi roda itu tidak dihantar menyebabkan saya terus merujuk kepada Lembaga Zakat Selangor sebelum pergi menuntut sendiri di syarikat pembekal yang dimaksudkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia dimaklumkan bahawa wakil syarikat yang dimaksudkan belum lagi menyerahkan apa-apa wang atau cek bagi pembelian kerusi roda dan difahamkan nama syarikat yang pada cek tersebut juga berlainan.

”Saya diberitahu nama syarikat yang tertera di dalam cek tersebut lain dan saya terus membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, meskipun sudah memperoleh kerusi roda sumba- ngan daripada pihak lain, dia kesal dengan kejadian tersebut.

"Duit itu adalah hak orang yang memerlukan dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment